Tentatif Program: Maksud, Cara Buat dan 6 Contoh Siap Guna
Maksud tentatif program, beza dengan atur cara, cara buat langkah demi langkah dan 6 contoh siap guna untuk majlis rasmi, annual dinner, family day dan seminar.

Setiap program bermula dengan satu dokumen yang sama: tentatif program. Tak kira majlis perasmian di jabatan, annual dinner syarikat, family day di Port Dickson atau seminar sehari di hotel, soalan pertama dalam meeting jawatankuasa selalunya sama: "Tentatif dah siap?"
Nampak simple. Masa di sebelah kiri, aktiviti di sebelah kanan. Tapi tentatif yang dibuat tergesa-gesa selalunya "terbongkar" pada hari majlis. VIP dah sampai tapi emcee tak pasti siapa berucap dulu, makan tengah hari lewat 40 minit, dan cabutan bertuah tertolak sampai pukul 11 malam bila separuh dewan dah balik.
Panduan ini terangkan maksud tentatif program, bezanya dengan atur cara, cara buat langkah demi langkah, dan 6 contoh tentatif yang anda boleh copy terus ke Word, Google Docs atau Canva.
Jawapan ringkas. Tentatif program ialah jadual sementara yang menyenaraikan masa dan aktiviti sesuatu program dari mula hingga tamat. Ia dipanggil "tentatif" kerana masih boleh berubah sebelum hari program. Tentatif yang baik ada nama program, tarikh dan tempat, masa mula dan tamat setiap slot, aktiviti yang jelas, waktu solat dan makan, dan buffer 10 hingga 15 minit selepas slot yang selalu lewat.
Apa maksud tentatif program?
"Tentatif" bermaksud belum muktamad, sementara, atau masih boleh berubah. Jadi tentatif program ialah susunan aktiviti dan masa yang dirancang untuk sesuatu program, yang diedarkan kepada peserta, jawatankuasa dan tetamu sebelum hari kejadian.
Dari segi tatabahasa, bentuk yang lebih tepat ialah "program tentatif" atau "atur cara tentatif", kerana mengikut hukum D-M, penerang datang selepas perkara yang diterangkan. "Tentatif program" ikut susunan bahasa Inggeris, tapi itulah istilah yang paling ramai guna dan cari. Untuk surat dan dokumen rasmi, guna "atur cara tentatif". Untuk poster, WhatsApp atau slide, "tentatif program" pun semua orang faham.
Dalam bahasa Inggeris, tentatif program biasanya dipanggil "event agenda", "programme schedule", atau "itinerary" untuk lawatan dan trip.
Tentatif program vs atur cara majlis: apa bezanya?
Ramai guna dua istilah ini secara bertukar ganti, dan itu okay. Tapi kalau nak tepat, bezanya begini:
Perkara | Tentatif program | Atur cara majlis |
|---|---|---|
Status | Draf, masih boleh berubah | Muktamad |
Bila digunakan | Peringkat perancangan, diedarkan sebelum program | Pada hari majlis, dalam buku program atau skrip emcee |
Tahap detail | Slot masa dan aktiviti utama | Setiap acara mengikut urutan, termasuk lagu, doa, ucapan dan gimik |
Untuk siapa | Peserta, tetamu dan vendor | VIP, emcee dan urus setia |
Ada satu lapisan lagi untuk team di belakang tabir: run of show. Ia pecahkan setiap minit kepada siapa buat apa, termasuk cue lampu, muzik dan mikrofon. Kalau program anda ada pentas dan AV, baca panduan run of show kami (dalam bahasa Inggeris).
Apa yang perlu ada dalam tentatif program?
Nama program dan tema, di bahagian paling atas.
Tarikh, hari dan tempat. Kalau program lebih dari sehari, pecahkan ikut Hari 1, Hari 2 dan seterusnya.
Masa mula dan tamat setiap slot, contohnya 9.00 hingga 9.30 pagi. Pilih satu format masa dan guna sampai habis.
Aktiviti yang jelas. Tulis "Ucapan aluan oleh Pengarah", bukan sekadar "Ucapan".
Tempat atau dewan kalau ada lebih dari satu lokasi, dan PIC (person in charge) dalam versi jawatankuasa.
Waktu solat dan makan. Untuk program yang melepasi waktu Zohor, Asar atau Maghrib, sediakan slot rehat yang cukup.
Masa tamat program. Peserta perlu tahu bila boleh balik, terutama yang ada anak atau naik transport awam.
Pakaian (dress code), kalau ada.
Nota "Tentatif tertakluk kepada perubahan" di bahagian bawah.

Cara buat tentatif program, langkah demi langkah
1. Mula dengan masa yang tak boleh berubah
Sebelum isi apa-apa, tanda dulu "fixed points": masa VIP sampai, waktu solat pada tarikh itu, masa makan yang dah dipersetujui dengan katerer, dan masa dewan perlu dikosongkan. Semak waktu solat untuk tarikh dan zon anda di e-Solat JAKIM. Semua aktiviti lain disusun di sekeliling titik-titik ini.
2. Senaraikan aktiviti dan beri masa yang realistik
Senaraikan semua aktiviti dulu, kemudian beri anggaran masa. Ini panduan kasar yang selalu digunakan:
Aktiviti | Anggaran masa |
|---|---|
Pendaftaran | 30 hingga 45 minit |
Lagu Negaraku dan lagu institusi | 5 minit |
Bacaan doa | 3 hingga 5 minit |
Ucapan aluan | 5 hingga 10 minit |
Ucapan perasmian | 10 hingga 15 minit |
Gimik perasmian dan sesi bergambar | 10 hingga 15 minit |
Satu sesi ceramah | 45 hingga 90 minit |
Minum pagi atau petang | 15 hingga 30 minit |
Makan tengah hari dan solat Zohor | 60 hingga 90 minit |
Rehat solat Jumaat dan makan | 12.15 tengah hari hingga 2.30 petang |
3. Masukkan buffer
Letak buffer 10 hingga 15 minit selepas slot yang hampir pasti lewat: pendaftaran, ketibaan VIP dan makan. Kalau semua berjalan ikut masa, buffer itu jadi masa rehat atau networking. Kalau lewat, program anda masih tamat ikut jadual.
4. Susun ikut protokol untuk majlis rasmi
Majlis rasmi di Malaysia biasanya ikut susunan ini: ketibaan tetamu, ketibaan tetamu kehormat, lagu Negaraku (diikuti lagu negeri atau lagu institusi), bacaan doa, ucapan aluan, ucapan perasmian, gimik perasmian, penyampaian cenderamata, sesi bergambar dan jamuan. Kalau tak pasti, semak dengan pejabat VIP atau unit protokol organisasi anda dulu.
5. Sahkan slot dengan penceramah dan VIP
Hantar slot kepada setiap orang yang berucap atau membentang, dan minta mereka setuju dengan tempoh masa itu. Ucapan "10 minit" yang tak dipersetujui awal selalunya jadi 25 minit.
6. Buat dua versi
Versi peserta: ringkas, masa dan aktiviti sahaja. Versi jawatankuasa: tambah lajur PIC, tempat dan nota, contohnya "emcee jemput VIP naik pentas" atau "slide sesi 2 dah ada dalam laptop". Jangan bagi peserta versi yang penuh dengan nota crew.
7. Satu versi, satu tempat
Semua orang pernah nampak group WhatsApp yang ada Tentatif_FINAL.pdf, Tentatif_FINAL_v2.pdf dan Tentatif_FINAL_betul.pdf. Tetapkan satu orang yang pegang tentatif, letak tarikh pada setiap versi, dan hantar semula kepada semua bila ada perubahan.
8. Edar awal, muktamadkan dekat dengan hari program
Edar tentatif kepada peserta seminggu hingga dua minggu sebelum program, dan muktamadkan dua atau tiga hari sebelum hari kejadian. Pada masa itu, tentatif anda dah boleh jadi atur cara.
6 contoh tentatif program (copy dan ubah)
Copy jadual di bawah ke Word, Google Docs atau Canva, kemudian tukar masa dan aktiviti ikut program anda. Semua masa di bawah ialah contoh sahaja.
Contoh 1: Majlis perasmian (separuh hari)
Masa | Aktiviti |
|---|---|
8.00 pagi | Pendaftaran dan sarapan |
8.45 pagi | Tetamu dan jemputan mengambil tempat |
9.00 pagi | Ketibaan tetamu kehormat |
9.05 pagi | Nyanyian lagu Negaraku dan lagu institusi |
9.10 pagi | Bacaan doa |
9.15 pagi | Ucapan aluan oleh Pengerusi Penganjur |
9.25 pagi | Ucapan perasmian oleh tetamu kehormat |
9.40 pagi | Gimik perasmian |
9.45 pagi | Penyampaian cenderamata dan sesi bergambar |
10.00 pagi | Lawatan ke pameran |
10.30 pagi | Minum pagi dan bersurai |
*Tentatif tertakluk kepada perubahan.
Contoh 2: Majlis makan malam tahunan (annual dinner)
Masa | Aktiviti |
|---|---|
7.30 malam | Pendaftaran, check-in dan photo wall |
8.15 malam | Tetamu mengambil tempat |
8.30 malam | Ketibaan CEO dan tetamu kehormat |
8.35 malam | Nyanyian lagu Negaraku dan lagu korporat |
8.40 malam | Bacaan doa |
8.45 malam | Ucapan CEO |
9.00 malam | Makan malam dihidangkan |
9.30 malam | Persembahan staf |
10.00 malam | Anugerah Pekerja Cemerlang |
10.30 malam | Cabutan bertuah |
11.00 malam | Cabutan hadiah utama dan sesi bergambar |
11.15 malam | Bersurai |
Mulakan pendaftaran selepas waktu Maghrib supaya staf Muslim sempat solat, dan pastikan ada surau berdekatan dewan. Perlukan idea? Lihat idea tema annual dinner dan idea hadiah cabutan bertuah kami.
Contoh 3: Hari keluarga (family day) syarikat
Masa | Aktiviti |
|---|---|
7.30 pagi | Ketibaan dan pendaftaran mengikut jabatan |
8.00 pagi | Sarapan |
8.30 pagi | Taklimat dan senaman ringan (warm-up) |
9.00 pagi | Sukaneka kanak-kanak |
10.00 pagi | Sukaneka dewasa dan pertandingan antara jabatan |
11.30 pagi | Acara kemuncak: tarik tali |
12.30 tengah hari | Makan tengah hari |
1.15 petang | Rehat dan solat Zohor |
2.00 petang | Aktiviti bebas: pantai, kolam atau karaoke |
3.30 petang | Penyampaian hadiah sukaneka dan cabutan bertuah |
4.30 petang | Minum petang dan bersurai |
Contoh 4: Seminar atau kursus sehari (hari Jumaat)
Masa | Aktiviti |
|---|---|
8.00 pagi | Pendaftaran dan sarapan |
8.45 pagi | Ucapan aluan |
9.00 pagi | Sesi 1: [Tajuk] oleh [Penceramah] |
10.30 pagi | Minum pagi dan networking |
10.45 pagi | Sesi 2: [Tajuk] oleh [Penceramah] |
12.15 tengah hari | Rehat, makan tengah hari dan solat Jumaat |
2.30 petang | Sesi 3: LDK (Latihan Dalam Kumpulan) |
4.00 petang | Pembentangan kumpulan, soal jawab dan rumusan |
4.30 petang | Minum petang dan bersurai |
Untuk hari selain Jumaat, rehat makan tengah hari biasanya dari 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang, termasuk solat Zohor.
Contoh 5: Lawatan kerja atau lawatan sambil belajar
Masa | Aktiviti |
|---|---|
7.00 pagi | Berkumpul di lobi dan sarapan ringan |
7.30 pagi | Bertolak ke [destinasi] |
10.00 pagi | Tiba dan taklimat oleh tuan rumah |
10.30 pagi | Lawatan ke fasiliti |
12.30 tengah hari | Makan tengah hari dan solat Zohor |
2.00 petang | Sesi perkongsian dan soal jawab |
3.30 petang | Penyerahan cenderamata dan sesi bergambar |
4.00 petang | Bertolak pulang |
6.30 petang | Tiba di pejabat |
Contoh 6: Majlis persaraan
Masa | Aktiviti |
|---|---|
11.30 pagi | Ketibaan tetamu |
11.45 pagi | Ketibaan pesara dan keluarga |
12.00 tengah hari | Bacaan doa |
12.05 tengah hari | Ucapan aluan oleh Ketua Jabatan |
12.15 tengah hari | Tayangan video kenangan |
12.25 tengah hari | Ucapan penghargaan oleh pesara |
12.40 tengah hari | Penyampaian cenderamata dan sesi bergambar |
1.00 tengah hari | Jamuan makan tengah hari dan solat Zohor |
2.00 petang | Bersurai |
Kesilapan biasa dalam tentatif program
Tiada buffer. Semua slot rapat, jadi satu kelewatan kecil tolak semua aktiviti lain.
Ucapan tanpa had masa. Ucapan 10 minit boleh jadi 25 minit kalau tak dipersetujui awal.
Lupa waktu solat, atau letak sesi penting dalam waktu solat Jumaat.
Format masa bercampur, contohnya 9.00 pagi, 0930 dan 10:00am dalam satu jadual.
Tiada masa tamat. Peserta tak boleh rancang transport atau masa ambil anak.
Terlalu banyak versi dalam group WhatsApp, sampai ada peserta datang ikut versi lama.
Tentatif peserta penuh dengan nota crew yang sepatutnya disimpan dalam run of show.
Dari PDF ke telefon: tentatif yang sentiasa up to date
Masalah dengan tentatif dalam PDF: bila satu slot berubah, anda kena edit, export, hantar semula, dan berharap semua orang buka versi yang betul.
Dengan Agenda Builder dalam SOURems:
Bina tentatif ikut hari dan track, contohnya Dewan Utama dan Bilik Bengkel, dengan masa setiap sesi dan nota untuk penceramah, pautan dan gambar.
Publish sebagai page yang mesra telefon, dan kongsi melalui link atau QR code pada standee dan slide. Peserta boleh tukar hari dan track sendiri.
Peserta buka tentatif dari tiket mereka, jadi tak perlu cari PDF dalam group WhatsApp.
Bila ada perubahan, update sekali sahaja. Semua orang nampak versi terkini, dan tiada apa yang perlu dicetak semula.
Tentatif hanya satu bahagian. Dalam platform yang sama, anda boleh buka pendaftaran, hantar tiket dan peringatan melalui emel dan WhatsApp, buat check-in dengan QR code, jalankan live poll semasa sesi, buat cabutan bertuah daripada peserta yang hadir, dan dapatkan laporan selepas program yang ditulis oleh AI berdasarkan data kehadiran dan aktiviti.
Untuk program kecil, NGO atau kelab, SOURapp percuma untuk download, rancang program dan kumpul RSVP. Lihat bagaimana SOURems membantu penganjur program di Malaysia.

Soalan lazim
Apakah maksud tentatif program?
Tentatif program ialah jadual sementara yang menyenaraikan masa dan aktiviti sesuatu program dari mula hingga tamat. "Tentatif" bermaksud belum muktamad, jadi susunan dan masa masih boleh berubah sebelum hari program.
Bagaimana cara membuat tentatif program?
Tanda masa yang tetap dahulu (ketibaan VIP, waktu solat dan makan), senaraikan semua aktiviti dengan anggaran masa yang realistik, masukkan buffer 10 hingga 15 minit selepas slot yang selalu lewat, sahkan slot dengan penceramah, dan edar satu versi sahaja kepada semua.
Apakah perbezaan antara atur cara dan tentatif?
Tentatif ialah jadual draf yang masih boleh berubah dan diedarkan semasa perancangan. Atur cara ialah susunan acara yang muktamad untuk hari majlis, biasanya lebih terperinci dan digunakan oleh emcee, VIP dan urus setia.
Apakah contoh tentatif program?
Tentatif program yang paling ringkas ada dua lajur: masa dan aktiviti. Contohnya, 8.00 pagi pendaftaran, 9.00 pagi ucapan aluan, 10.30 pagi minum pagi, 12.30 tengah hari makan tengah hari dan solat Zohor, dan 4.30 petang bersurai. Enam contoh lengkap ada dalam panduan ini.
Apakah tentatif program dalam bahasa Inggeris?
Event agenda, programme schedule, atau itinerary untuk lawatan dan perjalanan. Untuk team teknikal di belakang pentas, versi yang lebih terperinci dipanggil run of show.
Perlukah tentatif program ada waktu solat?
Ya, untuk program yang melepasi waktu solat dan ada peserta Muslim. Sediakan slot rehat yang cukup untuk Zohor, Asar atau Maghrib. Untuk program hari Jumaat, biasanya rehat dari 12.15 tengah hari hingga 2.30 petang.
Bila tentatif program perlu diedarkan?
Edar draf kepada jawatankuasa seawal mungkin, kepada peserta seminggu hingga dua minggu sebelum program, dan muktamadkan dua atau tiga hari sebelum hari kejadian.
